Thursday, August 14, 2008

ISU PINDAH KUBUR

KUCHING: Satu dialog dengan waris yang mempunyai saudara atau anggota keluarga yang dikebumikan di tanah perkuburan Islam berusia 100 tahun di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce perlu diadakan bagi mencari jalan penyelesaian, kata Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Jabatan Tanah dan Ukur, sebagai badan berkecuali, mengadakan perjumpaan dan memberi penjelasan kepada waris berhubung tindakan pemindahan kubur itu ke tempat lain.

“Saya tidak tahu akan ada pembangunan di situ (tapak kubur), yang saya tahu di sebelahnya memang ada,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kejadian kira-kira 100 pewaris menghalang kerja-kerja pemindahan kubur itu pada pagi Isnin lalu.

Dalam kejadian itu, dua orang cedera termasuk seorang kontraktor yang sedang melakukan kerja mengali kira-kira 40 kubur lama di tanah perkuburan terbabit.

Sebuah jengkaut yang digunakan kontraktor terbabit turut dibakar oleh pewaris dalam kejadian tersebut.

Keadaan itu memaksa Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman turun padang untuk menenangkan pewaris dan memastikan semua kubur yang digali, dikebumikan semula dengan cara yang betul mengikut Islam.

Seorang pewaris, Moshidi Sabang, 60, dari Bandar Baru Semariang, satu dialog dengan Majlis Agama Islam Sarawak (Mais) dan Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) diadakan pada Jumaat lalu berhubung cadangan memindahkan tanah perkuburan terbabit ke Tanah Perkuburan Islam di Jalan Sultan Tengah Semariang.

Bagaimanapun, katanya dalam dialog itu mereka dimaklumkan ia akan dilakukan selepas Hari Raya Puasa akan datang.

Taib sebelum itu menyaksikan pertandingan akhir Bahas Piala Ketua Menteri 2008 di Auditorium RTM di sini antara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Marudi dan SMK Matang Jaya. - Bernama

(dipetik dari berita harian online)

No comments: